Monday, May 19, 2008

MENCARI DIRI ATAU MELAWAT NOSTALGIA?

Suatu zaman persekolahan dahulu, saya mengalami masalah dengan matapelajaran Bahasa Malaysia. Saya tidak menghadapi masalah yang begitu ketara dalam matapelajaran-matapelajaran seperti Fizik, Kimia, Matematik Tambahan malah Bahasa Inggeris sekalipun.

Masalah ini saya sedari pada tahun saya menjejaki tingkatan empat. Selain keperluan kepada kemahiran penulisan yang lebih kompleks, saya juga telah diperkenalkan dengan topik-topik prosa klasik.

Mengimbas kembali, kelemahan saya yang ketara di dalam Bahasa Melayu ketika itu adalah dalam aspek ekspresi dan penghayatan sastera. Bagi seseorang seperti saya, ekspresi diri adalah sesuatu agak kompleks pada masa itu.

Saya kehilangan ibu dan seorang adik pada umur 8 tahun. Kemalangan jalanraya yang melibatkan hampir seluruh ahli keluarga (ayah tidak turut serta dalam perjalanan itu).

Pada umur semuda itu, saya telah pun mempunyai pendapat sendiri tentang ekspresi diri. Saya beranggapan, meluahkan kesedihan atas kehilangan besar itu akan menarik perhatian. Pada usia semuda itu juga saya beranggapan perhatian adalah satu perkara yang perlu dijauhkan. Maka saya jarang memperlihatkan emosi diri yang jati.

Apabila usia saya meningkat sedikit, sukan telah menjadi medium ekspresi saya. Bersukan dengan begitu bersemangat sekali. Kepuasan yang amat apabila mencapai kemenangan. Dan begitu kecewa apabila menerima kekalahan.

Mencapai begitu banyak dalam kemenangan dalam sukan pada tahun-tahun sebelumnya menjadikan saya lebih kompetitif dalam hidup. Tidak cukup dalam sukan, saya mula mengejar kejayaan dalam pelajaran.

Elemen sastera dalam matapelajaran Bahasa Melayu menuntut saya berekspresi dalam penulisan. Satu medium ekspresi yang asing. Tentunya tidak sama dengan ekspresi melalui sukan. Teknik pembelajarannya jauh sekali berbeza berbanding matapelajaran matematik, fizik atau kimia.

Namun sikap kompetitif yang tertanam sekian lama tidak mengizinkan saya mengalah. Saya membanyakkan bacaan. Tidak cukup buku di perpustakaan sekolah, saya meminjam buku daripada guru-guru bahasa (bukan terhad dengan guru bahasa saya sahaja tetapi mana-mana guru bahasa yang sudi meminjamkan buku).

Akhirnya pembacaan saya telah meluas kepada cerpen-cerpen dan novel-novel baik dalam Bahasa Malaysia mahupun dalam Bahasa Inggeris.

Melangkah daripada situ, saya juga mula menulis. Saya masih mempunyai masalah dari segi nahu dan tatabahasa tetapi saya telah dapat menghayati bidang penulisan itu sendiri sebagai medium ekspresi yang baru. Isi hati, luahan rasa, pena dan kertas bagaikan satu aliran sungai yang sama; mengalir terus-menerus tanpa henti.

Pada peperiksaan SPM saya mendapat keputusan A1. Peningkatan yang memuaskan bagi seseorang yang berada pada tahap P7 apabila memulakan tingkatan empat.

Selang 20 tahun kemudian.

Bersukan? Membuak-buak semangat tetapi begitu mudah mengalah kepada begitu banyak alasan. Membaca? Hanya terbatas kepada bacaan internet dan suratkhabar sekali sekala.

Menulis? Mencuba dan mencuba; samada di blog ini ataupun di blog satu lagi. Namun aliran hati, rasa, pena dan kertas yang di sebutkan tadi tidak begitu lancar lagi seperti dulu.

Saya dapat merasakan sikap kompetetif yang tertanam sejak dulu, masih ada dalam diri. Cuma kali ini, saya perlu bertanding dengan diri sendiri. Saya pada hari ini bertanding dengan diri saya pada 20 tahun yang lepas.

Adakah ini suatu pencarian diri? Atau sekadar pulang singgah melawat nostalgia? Kedua-duanya, mungkin?

No comments: