Saturday, May 17, 2008

IRONI PERGURUAN

Semalam, 16hb Mei 2008, adalah Hari Guru. Temanya pada hari ini adalah "Guru Cemerlang, Negara Terbilang". Serentak dengan itu, beberapa insentif untuk para guru juga telah diumumkan oleh PM.

Daripada 2004 sehingga 2007, tema Hari Guru mengaitkan guru dengan perkataan "gemilang". Pada tahun ini, perkataan "terbilang" digunakan bagi menggantikan perkataan tersebut. Pada asasnya maksud gemilang dan terbilang itu adalah sama maknanya.

Samada gemilang atau terbilang, apabila di kaitkan dengan guru, tema Hari Guru saban tahun adalah beraspirasikan kepada "end product" atau penghasilan pelajar-pelajar yang berkualiti. Tentunya para ibubapa juga mahu dan setuju dengan objektif ini.

Sememangnya dasar pendidikan menuntut sistem pendidikan negara menghasilkan pelajar dengan kualiti yang terbaik. Lima tahun sudah, melalui tema Hari Guru yang di pilih kerajaan, guru dikaitkan dengan kualiti pelajar. Namun dalam tempoh ini, adakah semua jentera pendidikan negara bergerak kearah ini?

Isu beg sekolah yang berat membebani anak-anak sekolah rendah masih lagi berada dimana-mana walaupun isu ini telah berusia lebih daripada sepuluh tahun. Begitu juga masalah-masalah guru-guru yang sering diperkatakan seperti :
  1. Tiada di kelas kerana menghadiri kursus
  2. Kekurangan guru-guru dalam subjek-subjek utama yang tertentu
  3. Beban waktu bekerja guru yang menjangkau sehingga lebih 60jam seminggu
  4. Program pendidikan yang lebih menjurus kepada pencapaian akademik sahaja dengan meletakkan pembangunan sahsiah pelajar kepada nombor yang agak terkebelakang.
  5. Kadar literasi yang rendah dikalangan pelajar tingkatan satu

Banyak lagi sebenarnya isu-isu yang boleh diketengahkan disini. Senarai di atas adalah sekadar apa yang terlintas di fikiran saya sahaja.

Berbalik kepada isu kualiti pelajar, PM telah mengumumkan insentif dimana sistem time base akan diambil kira dalam memberi pengiktirafan kepada guru. Malah guru yang sambung belajar dan memperolehi sarjana muda akan terus dinaikkan ke gred 44 berbanding gred 41 dalam amalan semasa.

Persoalannya, adakah pengiktirafan time-based merit ini akan membantu meningkatkan kualiti guru, sekaligus meningkatkan kualiti pelajar?

Kenapakah penekanan tidak diberikan kepada kualiti guru itu sendiri? Proses penilaian prestasi guru secara objektif akan memerlukan penglibatan pentadbiran sekolah secara aktif. Secara tidak langsung juga, pentadbiran sekolah akan dituntut supaya memberi perhatian yang lebih tertumpu kepada kualiti pelajar itu sendiri. Mungkin pihak pentadbir akan mempunyai kurang masa untuk diberi kepada PPD tetapi bukankah itu sepatutnya bukan keutamaan sekolah? Ini kerana, seperti tema Hari Guru yang dilemparkan setiap tahun sejak lima tahun kebelakang, semua jentera Kementerian Pelajaran di seluruh peringkat, perlu menjadikan isu kualiti pelajar sebagai kiblat utama?

Apabila diperkatakan tentang kualiti guru, kita juga tentunya tidak boleh terlepas pandang dengan isu kualiti graduan maktab perguruan. Adakah pengambilan guru dibuat mengikut kuota keperluan guru bagi mata pelajaran-mata pelajaran tertentu?

Jika ini berlaku, tentunya guru dari bidang bahasa tidak perlu mengajar dalam bidang matematik atau sains? Tidak perlu adanya persilangan bidang. Guru dapat mengajar dalam bidang kemahirannya dan sekaligus menghasilkan impak yang maksimum di kalangan pelajar?

Bagaimana pula dengan kursus peningkatan kualiti bagi guru-guru yang berada di dalam jawatan? Dari mula pelancaran sehingga sekarang, kita masih lagi mendengar keluhan para guru yang tidak dapat mengadaptasi sepenuhnya kegunaan ICT sebagai media PNP yang baru malah begitu ramai lagi yang masih menghadapi masalah mengajar matapelajaran matematik dan sains dalam bahasa inggeris.

Tambah menyedihkan, sekalipun secara kulitnya maktab perguruan telah diiktiraf sebagai institusi yang menghasilkan modal insan yang mahir dalam pendidikan, majoriti pensyarah-pensyarahnya tidak ikut diiktiraf dari segi gred jawatan. Malah beban pensyarah-pensyarah ini di tambah dengan fungsi-fungsi adhoc daripada kementerian seperti penyeliaan program KIA2M di sekolah-sekolah angkat, penganjuran kursus-kursus secara "twinning" dengan IPTA terpilih selain mengambil bahagian dalam proses penilaian temuduga bakal-bakal guru.

Mungkin fakta saya salah. Mungkin saya salah dengar atau salah lihat. Tetapi jika ini benar, maka terbuktilah sekolah dan maktab perguruan telah diberi ruang yang amat terhad untuk mengambil dan memainkan peranan utama masing-masing. Tuntutan kepada tugasan adhoc adalah lebih keatas keutamaannya.

Penyerahan tugasan adhoc ini seolah-olah telah dibudayakan dari atas pihak yang lebih atas daripada sekolah dan lebih atas daripada maktab perguruan. Sungguh ironi keadaannya apabila pihak atasan berkenaan yang memberi tema yang mengaitkan guru dan kualiti saban tahun sebagai tema Hari Guru. Pada masa yang sama juga pihak atasan berkenaan tidak memberi peluang kepada para guru dan pensyarah untuk menjadi lebih fokus dalam menghasilkan pelajar yang berkualiti.

SELAMAT HARI GURU.

No comments: