Thursday, June 5, 2008

KEMUSYKILAN TENTANG MINYAK

Sejak petang semalam, boleh dikatakan semua orang memperkatakan tentang kenaikan harga minyak. Maka topik saya hari ini tentunya berkenaan perkara yang sama.

Pendapatan saya, secara utamanya datang daripada urus niaga pasaran hadapan minyak sawit (FCPO). Memandangkan perkaitan rapat antara minyak sawit sebagai aditif utama kepada minyak diesel bagi menghasilkan minyak bio-diesel, saya sentiasa membuat pemerhatian kepada pergerakan harga minyak dunia.

Berikut adalah carta pergerakan harga minyak mentah (Crude Oil). Perlu dimaklumkan disini, carta ini adalah bagi kontrak bulan Julai 2008 (sumber daripada laman web Futuresource.com)

Memang benar harga minyak mentah dunia berada di dalam arah peningkatan (up trend). Ini tidak dapat dinafikan. Berdasarkan carta di atas, kita dapat lihat bagaimana harga minyak mentah dunia meningkat secara agresif. Dalam masa sembilan bulan iaitu daripada bulan Ogos 2007 sehingga sekarang, harga minyak mentah dunia telah meningkat daripada sekitar USD69 setong kepada sekitar USD120 setong. Ini adalah peningkatan sebanyak 73.9%.

Adalah dipercayai, tidak sukar untuk harga berkenaan kembali mencecah ke paras tertinggi iaitu sekitar USD135 setong. Malah keupayaan harga minyak mentah dunia untuk mara lebih tinggi adalah satu kemungkinan yang sama sekali tidak boleh diabaikan.

Saya mengaku, sebagai peniaga pasaran hadapan, pengetahuan dan kemahiran saya adalah terhad kepada pergerakan harga sesuatu komoditi sahaja. Saya bukan pakar ekonomi. Bukan juga pakar kajian sosial. Tentu sekali bukan pakar politik.

Sebagai orang kebanyakan (yang membuat pemerhatian kepada pergerakan harga minyak dunia), saya mempunyai beberapa kemusykilan yang bermain di minda saya:

  1. Pergerakan agresif menaik (up trend) harga minyak dunia ini telah bermula tidak kurang daripada lima tahun dahulu. Saya tidak nampak apa-apa persediaan yang dibuat di dalam negara dalam tempoh tersebut (termasuk usaha-usaha ke arah menggalakkan penggunaan bio-fuel dan bio-diesel yang semakin sepi).
  2. Konsep peningkatan harga minyak akan meningkatkan kos pembuatan sekaligus meningkatkan harga barangan (yang secara langsung meningkatkan kos sara hidup) adalah begitu mudah di fahami. Malangnya saya juga tidak nampak apa-apa persediaan yang dibuat di dalam negara dalam aspek ini.
  3. Pasaran harga minyak mentah dunia diniagakan di dalam USD. Peningkatan harga ringgit berbanding matawang USD menyebabkan pulangan hasil eksport minyak mentah negara menjadi kurang. Pada masa negara menetapkan nilai RM kepada nilai USD, RM3.8 adalah bersamaan dengan 1USD. Hari ini, nilai pertukaran (sumber daripada Yahoo Finance) adalah RM3.2605 bagi setiap 1USD. Ini adalah peningkatan nilai RM sebanyak 14.20%. Secara mudahnya negara kerugian 14.20% dari segi pertukaran mata wang apabila menjual minyak. Berbanding dengan peningkatan harga minyak mentah dunia yang sebanyak 73.9% tadi, kerugian 14.20% itu adalah kecil sahaja. (Untuk rekod, satu cadangan telah dikemukakan untuk menukarkan urusniaga minyak mentah dunia kepada matawang yang lain diperingkat OPEC pada tahun lepas,malangnya cadangan itu telah gagal.
  4. Saya tidak mempunyai akses kepada kadar penggunaan petrol dan diesel tempatan. Namun daripada pemerhatian saya (saya percaya pandangan saya dikongsi bersama orang kebanyakan), sukar untuk saya menerima yang adanya peningkatan ketara dalam penggunaan petrol dan diesel tempatan. Semakin ramai yang telah menggunakan motorsikal untuk ke tempat kerja (saya perhatikan semakin sesak tempat letak motorsikal di sekitar Kuala Lumpur). Jika anda membuat pemerhatian, anda jangan terkejut jika mendapati semakin ramai wanita yang menunggang motorsikal ke tempat kerja. Sukar saya hendak menelah penggunaan petrol dan diesel secara komersial (termasuk oleh sektor pembuatan). Namun saya percaya peningkatan penggunaanya juga adalah tidak ketara. Justeru saya percaya penggunaan petrol dan diesel tempatan tidak begitu menjejaskan kadar keupayaan eksport negara.
  5. Saya ingin menggunakan analogi berikut bagi menerangkan lemusykilan saya yang terakhir. Setiap hari, saya sebagai petani, hanya dapat mengutip hasil tanaman sayuran terhad kepada 1 kilogram sahaja. Daripada 1 kilogram sayuran, saya perlu ketepikan 20% iaitu 200 gram (seperti subsidi) untuk kegunaan keluarga saya. Maka saya hanya dapat menjual 80% sahaja iaitu 800 gram (seperti hasil eksport). Semalam, saya jual sayur dengan harga RM10 bagi setiap kilogram. Maka kos yang saya ketepikan untuk keluarga saya adalah sebanyak RM2 (20% = 200 gram) manakala hasil jualan saya adalah RM 8 (80% = 800 gram). Hari ini, saya dapat menjual sayur dengan harga RM 20 sekilogram. Maka kos yang saya ketepikan untuk keluarga saya adalah RM4 (20% = 200 gram) manakala saya mendapat hasil jualan sebanyak RM16 (80% = 800 gram). Kos untuk mengenepikan hasil sayur untuk keluarga saya meningkat daripada RM2 kepada RM4 manakala hasil jualan saya pula meningkat daripada RM8 kepada RM16. Kesimpulan saya, sepatutnya kesan harga minyak dunia adalah serupa. Malangnya apa yang saya lihat di televisyen dan apa yang saya baca di akhbar adalah berbeza.
Seperti saya sebutkan tadi, saya bukan pakar ekonomi, sosial atau politik. Saya hanya memerhatikan sebagai orang kebanyakan yang begitu risau tentang kos hidup semasa dan masa depan anak-anak. Lebih malang, saya tidak tahu kepada siapa saya dapat ajukan kemusykilan saya ini. Oleh itu, sukar bagi saya untuk mendapat jawapan.