Thursday, October 16, 2008

INGIN TAHU DAN AMBIL TAHU TENTANG EKONOMI NEGARA

Saya jangkakan, jika tiada urus-kerja yang konstruktif dalam isu ekonomi pada tahun ini, tahun depan kita semua akan merana.

Sepatutnya semasa isu sub-prime mula meletus di US dulu lagi kita telah ambil tindakan.

Bagi yang berpendapat kita masih boleh ambil sikap tunggu dan lihat, saya tidak dapat bersetuju dengan anda.

Data terkini:
DJIA (semalam) - 8,577 mata (jatuh 733.08 mata atau 7.87%)

DJIA futures (terkini) - 8,504 mata (jatuh 858 mata atau 9.16%)

BSKL (terkini) - 914.92 mata (jatuh 34.96 mata atau 3.68%)

Sweet Light Crude (terkini) - USD73.24 (Sila semak, baru semalam baru saya berikan data yang harganya di sekitar USD78 ke USD85)

Sawit futures (terkini) - RM1,648 (jatuh RM103 atau 5.89%).

Nota :
1.DJIA adalah indeks bagi saham di US. Pergerakannya mempengaruhi SEMUA pergerakan indeks saham utama diseluruh dunia (termasuk Malaysia).

2.DJIA futures adalah pasaran hadapan bagi DJIA. Pasaran ini berjalan semasa pasaran US ditutup dan bermakna ia bergerak pada malam hari di sana (siang di Malaysia). Ia menggambarkan sentimen pasaran saham US selepas bursa saham US ditutup. Memandangkan ia berjalan semasa BSKL berjalan, ia juga rujukan utama.

3.BSKL adalah bursa saham di Malaysia. Nama sebenarnya terkini adalah Bursa Derivatives Securities Berhad (diniagakan di pasaran saham) tetapi BSKL adalah lebih sinonim. Pergerakkannya menunjukkan reaksi komuniti perniagaan kepada prospek perniagaan di Malaysia.

4.Sweet Light Crude adalah merujuk kepada pasaran minyak dunia (diniagakan di US). Permintaan dan penawarannya adalah bergantung kepada kepenggunaan dalam sektor pengilangan dan konsumer di seluruh dunia sekaligus menjadi satu lagi indikasi kepada prospek ekonomi di seluruh dunia.

5.Sawit futures mempunyai penawaran dan permintaan yang sama dengan pasaran sawit fizikal. Justeru pergerakan harga sawit futures dan sawit yang sebenar adalah seiring. Sebagai antara komoditi yang memberikan sumber pendapatan yang besar, baik kepada kerajaan, sektor perladangan t(ladang dan pengekspor) mahupun pekebun kecil, pergerakan harganya memberi impak yang ketara kepada ekonomi negara.

Pemerhatian kepada 5 indikator ini adalah pemerhatian mudah dan ringkas bagi membaca suasana ekonomi negara. Maklumatnya banyak terdapat di internet untuk semakan dari masa ke semasa. Banyak lagi indikator lain tetapi yang disenaraikan ini sudah mencukupi sebagai asas.

Tidak perlu belajar ekonomi untuk "membaca" situasi sebenar ekonomi negara. Yang penting hanya sikap ingin tahu dan ambil tahu.

Diharap, pembaca semua dapat berhujah dengan lebih baik dengan debat yang lebih berisi.