Friday, September 26, 2008

KEPIMPINAN MELALUI TELADAN

Apakah pilihan peniaga selain dari mengikut rentak para pemimpin?

PENIAGA DIMINTA TURUN HARGA BARANG, Utusan Online - 26 September 2008

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata,

Para peniaga diminta prihatin kepada keperluan rakyat dengan menurunkan harga barang ketika mempunyai peluang dan ruang untuk berbuat demikian. - Saya kata "Apabila harga sweet crude pada USD125, harga minyak kita diubah dari RM1.92 ke RM2.70. Kini pada harga sweet crude dibawah paras USD110, harga minyak kita berada pada paras RM2.45."

Menteri Kewangan Kedua, peniaga pada masa sama digesa agar tidak menaikkan harga secara sebarangan. - Saya kata "Apabila harga sweet crude pada USD125, harga minyak kita diubah dari RM1.92 ke RM2.70. Kini pada harga sweet crude dibawah paras USD110, harga minyak kita berada pada paras RM2.45."

''Harga ini bila sudah naik, sukar untuk turun semula, mungkin ada sebab yang munasabah (untuk tidak turunkan harga) sebab harga barang lain telah naik. - Saya kata "Apabila harga sweet crude pada USD125, harga minyak kita diubah dari RM1.92 ke RM2.70. Kini pada harga sweet crude dibawah paras USD110, harga minyak kita berada pada paras RM2.45."

Menteri Kewangan yang baru tak ada komen apa-apa ke?

Tuesday, September 23, 2008

REALITI EKONOMI NEGARA

Saya ada mengatakan (dalam blog saya yang satu lagi - Novice Futures Sawit Trader, saya hanya akan menyambung penulisan blog selepas Hari Raya Aidil Fitri. Namun agak gatal tangan ini lalu terpanggil untuk bersuara berkenaan isu ekonomi negara.

Berikut adalah komen saya di blog "THE SCRIBE A KADIR JASIN"

Salam Dato',

Saya rujuk artikel berikut :

TIADA TAMBATAN RINGGIT

Kerajaan tidak bercadang melaksanakan semula kaedah tambatan ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) dalam menghadapi keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan komited untuk membenarkan pasaran menentukan nilai mata wang negara.

Menurutnya, nilai ringgit pada masa ini adalah stabil dan beliau yakin kestabilan mata wang negara itu mampu menghadapi senario ekonomi semasa.

‘‘Ya, kami yakin dan ia (ringgit) mencerminkan nilai sebenar mata wang ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat pertama sebagai Menteri Kewangan di kementerian barunya itu di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar tambatan ringgit diperkenalkan semula bagi mengurangkan kesan kejatuhan nilai dolar AS terhadap ringgit.

Sabtu lalu, Dr. Mahathir memberitahu, jika nilai ringgit ditambat pada kadar tertentu, ia akan dapat menstabilkan kadar tukaran mata wang asing dan memberikan keuntungan kepada negara.

Pada 1997, kadar tukaran ringgit ditetapkan pada RM3.80 bagi setiap dolar AS sebagai sebahagian langkah kawalan modal berpilih bagi mengelakkan ekonomi negara terus meleset.

Bagaimanapun, amalan itu dimansuhkan pada 21 Julai 2005 dan sejak itu nilai ringgit ditentukan dengan mengapungkannya secara terurus berbanding beberapa mata wang asing terpilih.

Selepas pemansuhan itu, nilai ringgit telah meningkat perlahan-lahan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dan pengembangan perdagangan selepas ditolak sebarang turun naik mata wang.

#(Utusan Online, 23 September 2008)#

Selepas pengapungan semula RM pada 2005, sukar untuk saya menerima semula pendekatan penambatan RM kepada nilai USD.

Sebaiknya pada 2005, hanya nilai tambatan yang perlu dinilai semula. Malangnya sistem tambatan itu sendiri telah ditolak. Mengubah semula kepada sistem tambatan akan membuktikan lagi betapa tidak konsistennya polisi kewangan negara di mata dunia (walaupun ini telahpun menjadi fakta tetapi tidak perlu kita mengeruhkan air yang sudah sedia keruh).

Yang saya ingin persoalkan di sini adalah cara pengapungan RM semasa. Seperti dinyatakan di dalam artikel di atas, RM kini diapungkan SECARA TERURUS BERBANDING BEBERAPA MATAWANG ASING TERPILIH".

Orang seperti saya tentunya tidak mempunyai akses kepada data-data dalam negara yang berkaitan.

Menggunakan data-data yang diterbitkan secara awam, kita dapat melihat bagaimana tidak semua matawang utama dunia bergerak seiring dengan kejatuhan nilai USD. RM pula umumnya bergerak selari dengan nilai USD.

Justeru saya hanya dapat membuat satu kesimpulan.

USD BERADA DALAM KELOMPOK MATAWANG YANG TERPILIH BERKENAAN.

DAN USD DIAMBILKIRA SEBAGAI MATAWANG UTAMA (PRIORITY WEIGHTAGE) BERBANDING LAIN-LAIN MATAWANG YANG DIKATAKAN TERPILIH TERSEBUT.

Malangnya ini langsung tidak diulas oleh Menteri Kewangan. Apatah lagi tambatan RM berbanding nilai emas.

Mungkin ini langsung tidak diketengahkan semasa taklimat yang diterimanya. Maklumlah barisan yang memberi taklimat itupun adalah manusia yang sama yang berdiri disekeliling Menteri Kewangan yang lepas. Tentunya kita tidak mengharapkan mereka ini untuk mengaku kualiti kerja mereka selama ini tidak begitu baik.

Saya setuju dengan Quick Draw Botak. Pengapungan atau penambatan RM bukan penyelesaian tunggal. Ia hanya sebahagian kecil dari penyelesaian menyeluruh.

Untuk penyelesaian menyeluruh, realiti ekonomi negara perlu dilihat dengan jujur.

Perakuan yang menyatakan bahawa asas-asas ekonomi malaysia adalah kukuh, saya lihat sebagai satu lagi "denial". Najib telah berpaling daripada kenyataan.

Merujuk kepada formula GDP (yang saya pelajari dari Dato' AKJ),

1.kerajaan tidak lagi mampu bertahan jika mahu mengekalkan perbelanjaan awam yang tinggi berikutan kos penyelenggaraan yang naik mencanak (akibat hasil kualiti yang rendah), kos yang berlebihan selain perbelanjaan dalam bajet 2009 yang tidak produktif (tidak menghasilkan pulangan fizikal, kewangan atau struktur kerana begitu banyak yang dihalakan kepada belanja mengurus selain perbelanjaan 'prihatin'.

2.Pelaburan industri yang semakin susut kerana kos operasi yang semakin meningkat terutama pengangkutan (eg kos petrol/diesel), kos bahan mentah, kemudahan kredit dan sumber manusia yang bersesuaian serta berkualiti. Secara realitinya kadar upah di Malaysia tidak meningkat (dan tenaga berkualiti semakin ramai yang berhijrah) tetapi kos pengangkutan dan kos bahan mentah yang naik mendadak (terima kasih Pak Lah) telah mengganggu gugat perancangan dunia perniagaan.

3.Lebihan eksport berbanding import juga boleh dianggapkan statik jika tidak menyusut kesan dari perkara 2. Nilai RM dan kadar upah rendah tidak lagi dapat menjadi faktor pendorong (dikatakan sebagai menghasilkan produk pengeluaran yang kompetetif dari segi harga) kerana permintaan luar negara telah semakin lemah akibat kemelesetan ekonomi di kalangan majoriti rakan niaga negara.

4.Apakah perlu saya mengulas tentang aspek perbelanjaan pengguna?

Dah terlalu panjang penulisan saya kali ini. Cadangan saya kepada MoF mungkin dapat saya utarakan dalam komen-komen yang akan datang.

Cukuplah sekadar saya katakan, tak perlulah TPM terlalu mengutamakan permintaan pihak-pihak seperti Fund Manager. Mereka ini hanyalah mewakili "hot fund" yang lebih gemarkan pendekatan touch and go selain perangkap-perangkap hutang seperti yang berlaku dalam isu terbitan bon oleh IPP.

Tumpukan kepada pelaburan awam dan swasta yang produktif (samada produktif dari segi kewangan, struktur atau local labour intensive) selain keutamaan diberi kepada pengeluaran produk atau by-produk pertanian tempatan.

p/s selepas pembentangan bajet 2009 tempohari, arahan ada dikeluarkan supaya penggunaan hotel-hotel sebagai tempat kursus dan seminar jabatan kerajaan diberhentikan. Dalam praktisnya, yang saya dapat tahu, arahan ini dipatuhi dalam tempoh tak sampai sebulan pun. Menjelang hujung tahun, kebanyakan ketua jabatan merasa terpanggil untuk menghabiskan bajet 2008 atas sebab-sebab tradisi (menjustifikasikan permohonan bajet 2009).

Tuesday, September 9, 2008

ISU PENDATANG

Berikut adalah artikel yang saya temui di lamanweb tranungkite online yang saya dapati amat sejiwa dengan saya. Pada kala kebanyakan orang lebih mudah meluahkan pendapat yang emosional dan bersentimen, ini pula adalah pendapat melalui pendekatan perspektif.

ANTARA PENDATANG DAN PENUMPANG (OLEH KUDA RANGGI)

Pada mulanya saya agak keberatan nak ulas kekecohan yang berpunca ekoran daripada kenyataan ketua UMNO bahagian Bukit Bendera, Pulau Pinang bernama Ahmad bin Ismail. Sama ada benar atau tidak apa yang didakwa dikatakan olehnya mengenai rakyat Malaysia keturunan Cina bukan persoalannya kerana isu tersebut sudahpun merebak dan mengapi-apikan keadaan.

Jika tidak ditangani dengan cermat, teliti dan bijak, isu itu boleh ditangguk dalam air yang keruh oleh anasir-anasir yang ingin melihat negara ini hancur serta mengundang campur tangan kuasa asing.

Dalam zaman dunia tanpa sempadan dan liputan meluas dan segera oleh media elektronik antarabangsa, apa yang berlaku di sesebuah negara itu tidak dapat disembunyi atau dinafikan.

Isu pokok yang dibangkitkan oleh Ahmad Ismail membabitkan persoalan "menumpang" iaitu rakyat Malaysia keturunan Cina adalah penumpang di negara ini. Beliau menjelaskan bahawa ia merujuk kepada zaman pra-Merdeka. Bagaimanapun, sensitiviti rakyat Malaysia keturunan Cina telah terguris.

Saya tidak mengenali secara peribadi Ahmad Ismail, tetapi kenal agak rapat dengan Allahyarham abangnya, Abdul Rahim Ismail, pemilik Syarikat Pembinaan Rahim yang pada satu ketika dahulu agak terkenal sebagai sebuah firma pembinaan Bumiputera yang unggul di Pulau Pinang. Saya tidak tahu apa dah jadi dengan syarikat itu selepas Abdul Rahim meninggal dunia.

Secara peribadi, saya tidak setuju dengan apa yang didakwa dikata oleh Ahmad Ismail atas beberapa sebab.

Bagi saya, hampir 90 peratus rakyat Malaysia, khususnya di Semenanjung, adalah pendatang dan kita semua sebenarnya menumpang hidup di bumi Allah. Kita bukan pemilik kekal tetapi hanya menumpang.

Sebagai contoh, saya sendiri adalah keturunan pendatang yang menumpang hidup di bumi bertuah ini. Datuk nenek di sebelah bapa saya berhijrah dari Makkah dan dari Brunei ke sini manakala di sebelah ibu pula dari Hadhramut, Yaman. Kami adalah pendatang dan penumpang sama seperti hampir semua penduduk negara ini khususnya di Pulau Pinang.

Bagi Ahmad Ismail, dia juga datang dari keluarga pendatang dan menumpang hidup di negara ini. Ahmad Ismail tidak boleh menafikan hakikat bahawa datuk neneknya adalah pendatang dari India untuk menerokai penghidupan yang lebih baik dan selesa di bumi bertuah ini.

Perdana Menteri Abdullah bin Ahmad juga tergolong dalam kategori yang sama. Datuknya di sebelah ibu adalah pendatang dari wilayah Guandong, China. Pendek kata, datuk Pak Lah iaitu bapa Allahyarhamah Kailan bernama Hassan Salleh atau Hah Su Chiang adalah seorang pendatang. Beliau berhijrah ke Tanah Melayu dari wilayah Guandong (Kwantung) pada pertengahan abad ke-19 dan menetap di Bayan Lepas sebagai pekebun getah, pesawah padi dan kemudian saudagar intan berlian.

Najib Tun Razak, Timbalan PM juga berasal daripada keluarga pendatang iaitu dari Sulawesi, Indonesia atau lebih senang disebut orang Bugis manakala sepupunya Hishamudin Hussein tidak terlepas daripada darah keturunan Turki.

Datuk nenek mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad juga pendatang dari Kerala, India manakala ibu Almarhum Tunku Abul Rahman berasal dari negeri Siam (Thailand).

Kesultanan Melayu Melaka pun dibuka oleh orang pendatang dari Sumatra bernama Parameswara, seorang anak raja atau bangsawan beragama Hindu.

Dalam sejarah kesultanan Melayu, kita dapati ada yang ditubuh oleh pendatang dari Bugis dan ada pula dari Hadhramut selain dari Minangkabau.

Hampir semua orang Melayu di sini berasal dari luar Tanah Melayu tetapi diiktiraf sebagai "bangsa Melayu" oleh Perlembagaan Persekutuan. Kita adalah "Melayu mengikut takrifan Perlembagaan" iaitu beragama Islam, mengamalkan adat resam Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu. Malangnya, bahasa Melayu nampaknya dimatikan oleh orang Melayu (UMNO) sendiri apabila dinamakan sebagai bahasa Malaysia.

Oleh itu, orang Arab seperti Syed Hamid Albar dan saya, orang Aceh seperti Sanusi Junid, orang India seperti Kader Sheikh Fadzir dan Nor Mohamed Yakcop, orang Bugis seperti Najib, orang Minang seperti Rais Yatim, orang Jawa seperti Mohamad Rahmat dan yang lain seperti dari Madura, Pulau Boyan, Siam, Burma, Yunnan (China) dan selatan Filipina dengan mudah boleh diiktirf sebagai "Melayu".

Mereka diterima sebagai orang Melayu tidak kira sama ada mereka bertutur bahasa Melayu atau tidak di rumah umpamanya si Arab berbahasa Arab, si Jawa berbahasa Jawa dan si Minang berbahasa Minang atupun si Mamak berbahasa Tamil.

Bahasa-bahasa yang disebut itu bukan bahasa Melayu dan jika dilihat dari sudut Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh diterima atau diiktiraf sebagai bangsa Melayu. Walau bagaimanapun, atas kepentingan dan faktor politik, semuanya diterima sebagai Melayu dan Bumiputera.

Oleh itu, adalah tidak adil untuk menuding jari kepada orang Cina yang juga kaum pendatang sama seperti orang Arab, India, Aceh, Minang, Batak, Mandailing, Jawa, Madura mahupun Bugis, sebagai menumpang di negeri ini. Kita tidak boleh menafikan bahawa sebilangan besar datuk nenek orang Cina telah berhijrah ke negeri ini semasa Kesultanan Melayu Melaka, bahkan kesultanan-kesultanan terdahulu di Kedah mahupun Terengganu dan Kelantan serta semasa Francis Light berjaya menipu Sultan Kedah untuk menduduki Pulau Pinang pada 1786.

Kita adalah kaum pendatang yang menumpang hidup di negeri ini. Golongan yang boleh diiktiraf sebagai orang asal atau anak bumi tulen adalah mereka yang kita kenali sebagai Negrito, Jakun, Semang, Jahut, Orang Laut, Orang Darat, Senoi dan suku kaum masyarakat Asli lain yang masih menjadi penghuni belantara.

Kita tidak harus lupa akan sumbangan dan pengorbanan semua kaum dan suku kaum untuk membangunkan Malaysia sama ada dari sudut ekonomi, kemasyarakatan, keselamatan dan yang paling penting kesepakatan dan perpaduan. Semua orang yang kena dan seharusnya membayar cukai, berbuat demikian tanpa mengira kaum atau asal keturunan, sama ada pendatang atau penumpang.

Kita semua adalah rakyat Malaysia.

Saya sendiri berdarah Patani-Arab-Belanda.

Melalui akademia sejarah dan contoh-contoh diatas, kita mendapat gambaran bahawa suatu ketika dahulu, pergaulan antara kaum atau ras adalah amat meluas. Perpindahan berkenaan berlaku kebanyakannya atas sebab-sebab ekonomi dan dakwah (islam dalam konteks melayu malaysia). Integrasi antara kaum juga berlaku juga disebabkan oleh faktor ekonomi dan dakwah.

Ironik sekali, kalau dulu kita membuka tangan kepada semua bangsa dan kaum, kini kita bersilang tangan memeluk tubuh sahaja.

Persoalannya, apakah kita sekarang ini masih sejati melayunya? Soalan ini ditanya kerana secara sosio-ekonominya melayu dahulu dan melayu sekarang sudah tidak lagi serupa.