Tuesday, September 23, 2008

REALITI EKONOMI NEGARA

Saya ada mengatakan (dalam blog saya yang satu lagi - Novice Futures Sawit Trader, saya hanya akan menyambung penulisan blog selepas Hari Raya Aidil Fitri. Namun agak gatal tangan ini lalu terpanggil untuk bersuara berkenaan isu ekonomi negara.

Berikut adalah komen saya di blog "THE SCRIBE A KADIR JASIN"

Salam Dato',

Saya rujuk artikel berikut :

TIADA TAMBATAN RINGGIT

Kerajaan tidak bercadang melaksanakan semula kaedah tambatan ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) dalam menghadapi keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan komited untuk membenarkan pasaran menentukan nilai mata wang negara.

Menurutnya, nilai ringgit pada masa ini adalah stabil dan beliau yakin kestabilan mata wang negara itu mampu menghadapi senario ekonomi semasa.

‘‘Ya, kami yakin dan ia (ringgit) mencerminkan nilai sebenar mata wang ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat pertama sebagai Menteri Kewangan di kementerian barunya itu di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar tambatan ringgit diperkenalkan semula bagi mengurangkan kesan kejatuhan nilai dolar AS terhadap ringgit.

Sabtu lalu, Dr. Mahathir memberitahu, jika nilai ringgit ditambat pada kadar tertentu, ia akan dapat menstabilkan kadar tukaran mata wang asing dan memberikan keuntungan kepada negara.

Pada 1997, kadar tukaran ringgit ditetapkan pada RM3.80 bagi setiap dolar AS sebagai sebahagian langkah kawalan modal berpilih bagi mengelakkan ekonomi negara terus meleset.

Bagaimanapun, amalan itu dimansuhkan pada 21 Julai 2005 dan sejak itu nilai ringgit ditentukan dengan mengapungkannya secara terurus berbanding beberapa mata wang asing terpilih.

Selepas pemansuhan itu, nilai ringgit telah meningkat perlahan-lahan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dan pengembangan perdagangan selepas ditolak sebarang turun naik mata wang.

#(Utusan Online, 23 September 2008)#

Selepas pengapungan semula RM pada 2005, sukar untuk saya menerima semula pendekatan penambatan RM kepada nilai USD.

Sebaiknya pada 2005, hanya nilai tambatan yang perlu dinilai semula. Malangnya sistem tambatan itu sendiri telah ditolak. Mengubah semula kepada sistem tambatan akan membuktikan lagi betapa tidak konsistennya polisi kewangan negara di mata dunia (walaupun ini telahpun menjadi fakta tetapi tidak perlu kita mengeruhkan air yang sudah sedia keruh).

Yang saya ingin persoalkan di sini adalah cara pengapungan RM semasa. Seperti dinyatakan di dalam artikel di atas, RM kini diapungkan SECARA TERURUS BERBANDING BEBERAPA MATAWANG ASING TERPILIH".

Orang seperti saya tentunya tidak mempunyai akses kepada data-data dalam negara yang berkaitan.

Menggunakan data-data yang diterbitkan secara awam, kita dapat melihat bagaimana tidak semua matawang utama dunia bergerak seiring dengan kejatuhan nilai USD. RM pula umumnya bergerak selari dengan nilai USD.

Justeru saya hanya dapat membuat satu kesimpulan.

USD BERADA DALAM KELOMPOK MATAWANG YANG TERPILIH BERKENAAN.

DAN USD DIAMBILKIRA SEBAGAI MATAWANG UTAMA (PRIORITY WEIGHTAGE) BERBANDING LAIN-LAIN MATAWANG YANG DIKATAKAN TERPILIH TERSEBUT.

Malangnya ini langsung tidak diulas oleh Menteri Kewangan. Apatah lagi tambatan RM berbanding nilai emas.

Mungkin ini langsung tidak diketengahkan semasa taklimat yang diterimanya. Maklumlah barisan yang memberi taklimat itupun adalah manusia yang sama yang berdiri disekeliling Menteri Kewangan yang lepas. Tentunya kita tidak mengharapkan mereka ini untuk mengaku kualiti kerja mereka selama ini tidak begitu baik.

Saya setuju dengan Quick Draw Botak. Pengapungan atau penambatan RM bukan penyelesaian tunggal. Ia hanya sebahagian kecil dari penyelesaian menyeluruh.

Untuk penyelesaian menyeluruh, realiti ekonomi negara perlu dilihat dengan jujur.

Perakuan yang menyatakan bahawa asas-asas ekonomi malaysia adalah kukuh, saya lihat sebagai satu lagi "denial". Najib telah berpaling daripada kenyataan.

Merujuk kepada formula GDP (yang saya pelajari dari Dato' AKJ),

1.kerajaan tidak lagi mampu bertahan jika mahu mengekalkan perbelanjaan awam yang tinggi berikutan kos penyelenggaraan yang naik mencanak (akibat hasil kualiti yang rendah), kos yang berlebihan selain perbelanjaan dalam bajet 2009 yang tidak produktif (tidak menghasilkan pulangan fizikal, kewangan atau struktur kerana begitu banyak yang dihalakan kepada belanja mengurus selain perbelanjaan 'prihatin'.

2.Pelaburan industri yang semakin susut kerana kos operasi yang semakin meningkat terutama pengangkutan (eg kos petrol/diesel), kos bahan mentah, kemudahan kredit dan sumber manusia yang bersesuaian serta berkualiti. Secara realitinya kadar upah di Malaysia tidak meningkat (dan tenaga berkualiti semakin ramai yang berhijrah) tetapi kos pengangkutan dan kos bahan mentah yang naik mendadak (terima kasih Pak Lah) telah mengganggu gugat perancangan dunia perniagaan.

3.Lebihan eksport berbanding import juga boleh dianggapkan statik jika tidak menyusut kesan dari perkara 2. Nilai RM dan kadar upah rendah tidak lagi dapat menjadi faktor pendorong (dikatakan sebagai menghasilkan produk pengeluaran yang kompetetif dari segi harga) kerana permintaan luar negara telah semakin lemah akibat kemelesetan ekonomi di kalangan majoriti rakan niaga negara.

4.Apakah perlu saya mengulas tentang aspek perbelanjaan pengguna?

Dah terlalu panjang penulisan saya kali ini. Cadangan saya kepada MoF mungkin dapat saya utarakan dalam komen-komen yang akan datang.

Cukuplah sekadar saya katakan, tak perlulah TPM terlalu mengutamakan permintaan pihak-pihak seperti Fund Manager. Mereka ini hanyalah mewakili "hot fund" yang lebih gemarkan pendekatan touch and go selain perangkap-perangkap hutang seperti yang berlaku dalam isu terbitan bon oleh IPP.

Tumpukan kepada pelaburan awam dan swasta yang produktif (samada produktif dari segi kewangan, struktur atau local labour intensive) selain keutamaan diberi kepada pengeluaran produk atau by-produk pertanian tempatan.

p/s selepas pembentangan bajet 2009 tempohari, arahan ada dikeluarkan supaya penggunaan hotel-hotel sebagai tempat kursus dan seminar jabatan kerajaan diberhentikan. Dalam praktisnya, yang saya dapat tahu, arahan ini dipatuhi dalam tempoh tak sampai sebulan pun. Menjelang hujung tahun, kebanyakan ketua jabatan merasa terpanggil untuk menghabiskan bajet 2008 atas sebab-sebab tradisi (menjustifikasikan permohonan bajet 2009).

No comments: