Monday, April 21, 2008

APA ITU KAYA

Beberapa tahun yang lepas, aku ada berjumpa dengan seorang kawan. Kami kenal semasa di bangku sekolah rendah lagi. Kemudian semasa di peringkat menengah, kami pergi ke sekolah yang sama. Dia telah pun menjadi doktor pakar sementara aku.... Aku masih juga begitu... cukup bulan, gaji habis.

Perbezaan pendapatan kami yang ketara tidak menjarakkan kami sebagai kawan. Maklumlah kami telah lama berkawan. Begitu banyak perkara lain yang kami dapat bualkan. Sebagai kawan yang begitu panjang sejarahnya, kami mampu berbual secara terbuka tentang hampir semua perkara.

Suatu hari kami berbincang tentang makna perkataan kaya...

"Gaji dah tinggi, nak buat part time lagi di klinik. Cepat la kaya gayanya."

"Tak ada lah kaya mana pun. Ada lah sikit-sikit duit lebih."

"Kalau dah cari duit lebih, kenapa tak kerja dengan swasta je. Itu dah confirm gaji banyak. Tak ada lah nak terkejar-kejar antara hospital dengan klinik."

"Kerja dengan swasta ni teruk sangat. Ada kawan aku, kerja dengan swasta, operation punya pasal, nak balik kampung tengok mak sendiri yang tengah sakit tenat pun tak sempat. Tak nak aku jadi macam tu!"

"Betul juga tu. Macam orang kata, bukan senang kalau nak senang. Kalau nak jadi kaya lagi la susahnya."

"Bagi aku, tak susah pun nak jadi kaya."

"Engkau boleh la cakap macam tu. Kerja doktor. Buat part time kat klinik lagi..."

"Betul, tak susah nak jadi kaya ni. Bila dah tak ada hutang, jadi kaya la kita."

"Tak betul tu. Kalau tak ada hutang tapi gaji RM500, mana ada kayanya?

"Kira kaya la tu, pasal gaji dia, bulat-bulat dia yang punya. Bukan bank punya. Bukan koperasi punya. Walaupun RM500, suka hati dia nak belanja macam mana. Bukan ke kaya namanya tu?"

Aku pun terdiam.

Hari ni, aku kembali teringatkan perbualan kami.

Dalam menghadapi kos sara hidup yang melambung-lambung sejak setahun dua ni, aku tak dapat elak daripada berangan-angan bagaimana bagusnya jika aku kaya. Kaya dengan cara bebas hutang. Kerana jika tidak menanggung hutang itu dan ini, aku, isteri dan anak-anak sebenarnya boleh hidup dengan agak mewah.

Nampaknya "tinggi bahasa" kawan aku yang bergelar doktor tu...

Sunday, April 20, 2008

INSPIRASI

"Write your draft with your heart and edit your draft with your mind"

Saya ambil kata-kata ini dari filem "FINDING FORRESTER". Dalam filem berkenaan, William Forrester menyarankan kaedah diatas kepada protegenya, Jamal Wallace. Dari filem ini lah saya mendapat inspirasi untuk menghasilkan blog saya yang kedua ini.

Saya tidak sehebat William Forrester dan tidak juga mempunyai bakat besar seperti Jamal Wallace. Tentunya tidak mudah untuk menulis dari hati seperti saranan William. Tetapi jika saya berjaya, saya tentunya sudah berjaya menukarkan inspirasi ini kepada suatu pencapaian. Suatu pencapaian yang hanya sang penulis sahaja tahu kemanisannya.