Monday, May 12, 2008

CERITA HANGAT MASA KINI

Pada 8hb Mac 2008 yang lepas, Malaysia telah membuka lembaran baru dalam rekod sejarah politiknya. Sejak daripada itu, rata-rata masyarakat sibuk memperkatakan tentang politik. Kini, sembang politik kedai kopi, telah diangkat ke satu tahap baru dengan mengisi dimensi baru siber melalui blog-blog politik.

Walau di sebelah sempadan mana sekalipun seseorang itu, peminat-peminat politik (sengaja aku tak masukkan pemain politik dalam kategori ini) tentunya mahukan yang terbaik bagi diri mereka; baik secara individu mahupun sebagai ahli masyarakat.

Apa perkaitannya politik dengan kebajikan diri (dan kebajikan masyarakat). Secara idealnya politik di perlukan untuk mendatangkan kebajikan. Tanpa politik, maka tiada lah lantikan pemerintah. Tiada perlantikan pemerintah maka tiada lah pengurusan negara. Tiada pengurusan negara, maka huru-hara lah negara.

Boleh disimpulkan di sini, usaha-usaha politik diperlukan untuk memenuhi keperluan asas masyarakat. Dengan adanya usaha-usaha politik sebagai kenderaan, masyarakat boleh di bawa ke destinasi impian, baik destinasi ekonomi mahupun destinasi sosial.

Tentunya kebanyakan kita faham apabila analogi kenderaan dan destinasi ini digunakan.

Pada hari ini, melalui perbualan secara langsung, komunikasi siber mahupun melalui media konvensional, perbincangan adalah lebih tertumpu kepada soal siapa yang layak menjadi pemandu kenderaan ini. Buat masa ini, dalam kebanyakan hal, ahli masyarakat seperti aku yang menjadi penumpang hanya dapat menunggu di tepi, sehinggalah persoalan "siapa pemandu" selesai.

Telah lebih tiga tahun kita di hidangkan dengan kenaikan harga minyak dunia. Dalam tempoh dua tahun yang sudah, harga minyak tempatan telah dinaikkan sebanyak tiga kali. Dalam tempoh yang sama, kesan dari kenaikan harga minyak itu, kos sara hidup juga telah meningkat.

Dalam tempoh berkenaan, walau dengan kesukaran mengimbang pendapatan (yang naik berdikit-dikit) dengan kos sara hidup (yang naiknya bertingkat-tingkat), kita orang kebanyakan telah disajikan dengan retorik kononnya segala-galanya dalam kawalan.

Kemudian semalam kita dikejutkan dengan pernyataan pemimpin negara yang memaklumkan kita yang negara terpaksa mengorbankan perbelanjaan pembangunan bagi menampung kawalan ke atas harga makanan.

Kenaikan harga dunia yang agresif telah bermula beberapa tahun dulu. Kita tidak menggunakan masa kita yang lepas untuk bersedia. Sepanjang tempoh beberapa tahun ini, kita ada kekuatan kewangan melalui kenaikan harga minyak dan minyak sawit di pasaran dunia, tetapi kita lepaskan peluang kita begitu sahaja.

Kini, amat suntuk masa yang tinggal. Apakah destinasi yang ingin kita tuju tadi masih lagi di lokasi yang sama menunggu kita?

Kadang-kadang aku terfikir, tidak lah penting sangat siapa pemandu kereta. Yang pentingnya kita perlu bertolak sekarang ke destinasi kita.

1 comment:

mojako said...

memang betul saya setuju sekali dengan pendapat kamu itu. sampai sekarang pun cerita politik di malaysia masih lagi hangat di perkatakan.
http://www.squidoo.com/cerita-panas