Saturday, July 12, 2008

UBAH GAYA HIDUP KORPORAT

Sila semak kedua-dua berita berikut. Ironinya berita pertama dan kedua tidak dilaporkan secara bersama dalam kedua-dua portal berita berkenaan.

CUKAI 'DURIAN RUNTUH' IPP JEJASKAN PASARAN MODAL

KUALA LUMPUR 11 Julai - Pasaran modal dijangka terjejas sekiranya kerajaan tetap meneruskan usaha untuk mengenakan cukai 'durian runtuh' terhadap Penjana Kuasa Bebas (IPP) selaras dengan Perintah Levi Keuntungan Berlebihan (Elektrik) 2008.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Nazir Razak berkata, kerajaan perlu mengkaji semula cadangan itu dengan segera kerana walaupun ia menambah jumlah kredit negara tetapi cukai itu akan menyusutkan nilai pasaran ekuiti dan bon tempatan, sekali gus membimbangkan pelabur.

''Ia bukan sahaja akan memberi kesan kepada IPP tetapi juga kepada pasaran kewangan iaitu pasaran ekuiti dan bon.

''Tiada siapa yang akan mendapat keuntungan daripada cukai 'durian runtuh' ini kerana jika kita lihat bila ia dilaksanakan, hutang kredit akan melebar, jumlah dagangan pasaran bon susut, pelabur menjadi resah dan akhirnya kos meminjam di Malaysia akan meningkat,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Bumiputra-Commerce Holdings Bhd., di sini hari ini.

Menurutnya, Kumpulan CIMB telah menghantar memorandum kepada kerajaan berhubung masalah tersebut dan berharap kerajaan mengambil pendekatan positif bagi menangani perkara tersebut.

Tambahnya, pihak yang terlibat dalam saham amanah dan bon juga telah menghantar memorandum mengenai perkara yang sama.

Sebelum ini, Persatuan Penjana Tenaga Bebas (IPP) Malaysia telah meminta kerajaan menyemak semula dan menangguhkan pelaksanaan cukai 'durian runtuh' itu.

Menurut Presidennya, Dr. Philip Tan, cukai di bawah Perintah Levi Keuntungan Berlebihan (Elektrik) 2008 itu akan membawa kesan buruk segera kepada daya maju kewangan mereka dan keupayaan mereka untuk memenuhi obligasi pinjaman kepada pembiaya dan pemegang bon.

Selain itu, ia juga akan meningkatkan ketidakcekapan industri penjanaan kuasa dan mengurangkan lagi kos tambahan meminjam bagi kerajaan.

Selain itu, menurut Nazir, meskipun IPP telah memperolehi keuntungan yang lebih sebelum ini dan cadangan mengenakan cukai durian runtuh dilihat sebagai satu tindakan yang tepat tetapi ia akan memudaratkan banyak pihak.

''Malaysia memiliki pasaran bon yang terbaik di pasaran antarabangsa dan melalui tindakan kerajaan mengenakan cukai ini boleh diibaratkan sebagai 'menembak angsa emas'," tegas beliau.


*UTUSAN ONLINE*12/7/08*


HARGA BARU GAS SELARAS REALITI EKONOMI SEMASA

Oleh Azli Ayob
bhnews@bharian.com.my

Penstrukturan semula kurangkan subsidi gas secara berperingkat

HARGA gas yang dijual Petronas kepada syarikat dalam sektor industri berat di Semenanjung dikurangkan 26.7 peratus kepada RM23.88 bagi setiap MMBtu berkuat kuasa 1 Julai lalu, daripada RM32.56/MMBtu seperti diumumkan 4 Jun lalu.

Ini susulan langkah kerajaan menstruktur semula harga gas yang menyaksikan pelarasan diskaun harganya yang kini diberikan Petronas dan Gas Malaysia Sdn Bhd kepada kepada kedua-dua kategori pelanggan, iaitu yang menggunakan gas melebihi dua juta kaki padu sehari (mmscfd) dan yang kurang daripada itu.


Berikutan pelarasan itu, harga gas bagi pengguna industri yang menggunakan gas kurang dua mmscfd pula sebaliknya dinaikkan 41.7 peratus kepada RM22.06/MMBtu berkuat kuasa 1 Ogos ini daripada RM12.87/MMBtu sekarang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A Aziz, berkata menerusi penstrukturan semula itu, kerajaan memutuskan untuk mengurangkan secara berperingkat diskaun harga gas yang diberikan oleh Petronas dan Gas Malaysia kepada pengguna industri.

Beliau berkata, bagi tahun pertama bermula 1 Julai ini sehingga Julai tahun depan, Petronas dan Gas Malaysia akan memberikan diskaun harga bahan api itu sebanyak 70 peratus.

Kadar diskaun itu, katanya akan dikurangkan lima peratus setiap tahun sehingga tahun ketujuh sebelum dikurangkan sebanyak 10 peratus setahun pada tahun kelapan dan ke-10.

Berikutan pengurangan secara berperingkat itu pada tahun ke-11, iaitu bermula 1 Julai 2018, sektor industri akan membeli gas daripada Petronas dan Gas Malaysia pada harga pasaran, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, bagi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mereka hanya akan membayar mengikut harga pasaran bermula 1 Julai 2020.

Amirsham menegaskan, langkah kerajaan menstruktur semula harga gas itu adalah konsisten dengan dasar kerajaan untuk mengurangkan subsidi gas secara berperingkat sehingga mencapai kepada harga pasaran sepenuhnya.

Beliau berkata, ia dibuat selepas mengambil kira dan menimbangkan maklum balas daripada pelbagai pihak.

“Keputusan untuk mengurangkan diskaun secara berperingkat ini bertujuan memberi kepastian kepada sektor industri dalam merangka perbelanjaan operasi syarikat.

“Ia juga diharapkan dapat membantu industri membuat penyesuaian yang perlu untuk berdepan dengan realiti pasaran,” katanya pada sidang media mengumumkan penstrukturan semula itu di Putrajaya semalam.

Beliau juga menegaskan, penstrukturan semula harga gas itu dijangka tidak menjejaskan daya saing industri tempatan dalam jangka panjang.

*BERITA HARIAN ONLINE*12/7/08*


Di Malaysia, Penjana Kuasa Bebas (IPP) adalah antara pengguna terbesar gas sebagai bahan bakar. IPP adalah pemegang kontrak jangka masa panjang bagi membekal tenaga elektrik kepada Tenaga Nasional.

Seringkali kita melihat laporan di media massa dari tahun ke tahun, bagaimana Tenaga Nasional terpaksa menanggung penyusutan keuntungan yang ketara kerana membayar IPP dengan harga yang tinggi (seperti termaktub dalam perjanjian). Pada masa yang sama IPP juga turut menikmati subsidi dalam bentuk harga gas.

Pada hari ini, kedapatan dua berita ini yang dilapurkan oleh dua media secara berasingan. Satu media mengutarakan rayuan IPP kepada kerajaan untuk menimbangkan semula mengenakan cukai "durian runtuh" terhadap mereka. Satu berita lagi melaporkan usaha kerajaan untuk membekalkan gas pada harga lebih murah kepada industri berat.

Ironi sekali lagi, apabila rakyat baru sahaja menerima tamparan dengan kenaikan kadar caj penggunaan elektrik.

Selama ini, IPP telahpun menerima subsidi yang lumayan dalam harga gas sebagai sumber utama mereka menghasilkan elektrik. Pada masa yang sama, IPP telah menggunakan kelebihan ini untuk menjana dana bon yang besar dan lumayan.

Memandangkan kelebihan-kelebihan ini, mereka tentunya memperoleh keuntungan yang boleh dikategorikan sebagai durian runtuh. Dan tentunya durian runtuh ini telah mereka nikmati selama bertahun-tahun.

Soalnya disini, adakah IPP boleh dikategorikan sebagai industri berat? Jika jawapannya ya, durian runtuh yang mereka nikmati itu akan berganda. Jika jawapannya tidak, durian runtuh tetap adalah durian runtuh walaupun tidak berganda.

Rakyat kini menanggung harga petrol pada kadar subsidi yang menyusut. Rakyat juga menanggung kos penggunaan elektrik yang lebih tinggi dewasa ini. Rakyat perlu mengubah cara hidup untuk mengharungi kos sara hidup yang melonjak.

Kepada Dato' Nazir dan Persatuan IPP, anggaplah cukai durian runtuh itu sebagai ucapan terima kasih kepada insentif kerajaan selama ini. Jika selanjutnya, pasaran bon akan terjejas, anggaplah ia sebagai cabaran dunia korporat yang perlu dihadapi sesuai dengan realiti ekonomi dunia masa kini. Ubahlah gaya hidup korporat anda.

Sekiranya, IPP dikategorikan sebagai industri berat, anda akan menerima durian runtuh yang baru. Jika tidak, jangan kecewa. Kerana rasa berat hati anda dikongsi bersama dengan beberapa juta ketua keluarga kelas rendah dan pertengahan di Malaysia.

No comments: