Sunday, July 6, 2008

SIBUK KE SERABUT?

Memang agak sibuk.

Selain kerja-kerja hakiki, juga sibuk menyiapkan buku. Buku bersiri dengan 7 judul di dalamnya. Penerbitan buku-buku ini bukan untuk pasaran terbuka tetapi untuk edaran dalaman pelanggan.

Agak kecewa apabila penerbit tidak memaklumkan yang pelanggan telah membenarkan penangguhan tarikh penerbitan. Tambahan pula, penangguhan masa ini tidak digunakan oleh penerbit bagi menyelesaikan perkara perjanjian antara penulis dengan penerbit. Terasa bagai di tikam dari belakang apabila penyerahan manuskrip didahulukan berbanding memeterai perjanjian dengan penulis.

Begini lah nasib penulis Malaysia. Terutama yang belum "bertaraf" karyawan.

Dan beginilah selalunya sikap penerbit Malaysia (bukan semua). Apatah lagi kalau penerbit itu adalah penerbit melayu! Terima Kasih melayu.

Tidak mengapa. Saya tidak akan mengalah dan putus asa. Saya akan terus menaruh harapan kepada pengusaha-pengusaha industri dikalangan melayu. Mudah-mudahan lebih ramai melayu yang gigih dalam perniagaan (tanpa bertongkat) dapat bersaing secara adil dengan lain-lain kaum.

Saya bukannya seorang yang ada rasa perkauman. Tidak sama sekali. Jika ada PELUANG YANG BAIK untuk bekerjasama dengan bukan melayu, saya tidak akan menolak. Tidak semua pengusaha perniagaan bukan melayu yang bersikap tidak adil.

Dan bukan semua pengusaha perniagaan melayu yang jujur sikapnya. Seperti dalam posting saya yang lebih awal.

Menyentuh sedikit tentang isu antara kaum, mengingatkan saya pada senario politik negara semasa.

Sekiranya saya bukan orang Malaysia, tentunya saya sudah tergelak tergolek-golek. Tuduh, jawab dan tuduh semula. Kenyataan bersumpah di buat dan di tarik balik. C4, liwat, subsidi.

Malangnya saya rakyat Malaysia. Semua ini adalah realiti. Semua ini tidak kelakar langsung.

Dunia telah diberi amaran tentang kegawatan ekonomi global sejak lebih setahun dahulu apabila Amerika Syarikat mula dilanda masalah "sub-prime loans". Tambah pula dengan kenaikan agresif dalam harga pasaran minyak dunia, kesan kegawatan boleh di rasakan di seluruh dunia.

Ironinya, 3 bulan setelah pilihanraya umum ke 12 berakhir dan kerajaan baru dibentuk, isu ekonomi (kecuali kenaikan harga minyak tempatan) tidak dimasukkan dalam agenda mana-mana parti.

Malangnya saya rakyat Malaysia. Semua ini adalah realiti. Semua ini tidak kelakar langsung.

Akhir-akhir ini, saya sengaja berbuat sibuk bagi mengelakkan otak serabut.

No comments: